Kehebatan Nicol abadi
Datuk Nicol Ann David |
DATUK Nicol David menitiskan air mata buat kali pertama di depan khalayak ramai tatkala tirai merah yang melitupi namanya di gelanggang kaca utama Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, disingkap, petang semalam.
Bersaksikan lebih 500 hadirin yang memenuhi segenap ruang stadium utama, ratu skuasy itu mencipta satu lagi sejarah apabila muncul atlit pertama negara mempunyai gelanggang bersempena namanya.
Arena Nicol David, nama baru gelanggang itu, nyata menjadi pengiktirafan tertinggi pernah diterimanya sejak bergelar atlit seawal usia lima tahun.
Selama ini amat sukar melihat pemain terbaik dunia itu mengalirkan air mata, termasuk ketika hiba tewas mengejut di suku akhir Terbuka British, Ogos lalu, juga gembira mengekalkan gelaran Terbuka Dunia, bulan lalu.
|
“Saya tidak mudah menangis tapi pengiktirafan ini sememangnya amat bermakna dan paling besar dalam karier saya.
“Saya tidak pernah impikan perkara ini sepanjang hidup saya. Saya hanya mahu menjadi pemain terbaik dunia dan tidak sangka saya memperoleh lebih daripada itu.
“Saya masih terkejut. Saya tergamam melihat nama saya terpapar di seluruh ruang ini. Ia sesuatu yang besar dan mengagumkan. Semestinya penghargaan ini memberi keyakinan tambahan untuk terus beraksi cemerlang.”
Namun, pemain berusia 26 tahun itu tidak berasa pengiktirafan ini mengenakan tekanan berlebihan terhadapnya.
“Kemungkinan kalah di gelanggang sendiri? Saya langsung tidak memikirkannya. Saya masih belum berpeluang memikirkan kemungkinan itu kerana saya masih cuba membiasakan diri dengan suasana ini.
“Nicol bermain di gelanggang Nicol... ia sesuatu yang menakjubkan. Amat luar biasa. Tapi, saya percaya ia akan memberi kelebihan tambahan pada saya apabila menentang pemain terbaik dunia di gelanggang ini.”
Pada majlis yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek itu, Nicol turut menghabiskan hampir setengah jam melayan peminatnya serta menyertai perlawanan persembahan menentang Ahmad Shabery.
Ahmad Shabery juga menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dan Skim Hadiah Kemenangan Sukan Atlit Remaja (Shakar) kepada Nicol serta beberapa pemain remaja yang merangkul emas di Kejohanan Remaja Asia di India, awal tahun ini.
Nicol menerima RM20,000 atas kejayaan mengekalkan kejuaraan Terbuka Dunia di Amsterdam, bulan lalu.
Ivan Yuen Chee Wern menerima RM29,375 berikutan merangkul perak individu di Kejohanan Remaja Lelaki Dunia serta dua emas (individu dan pasukan) di Kejohanan Remaja Asia.
Kamran Khan, Ng Jo Wen, Mohd Zulzari Azhar dan Tan Yan Xin masing-masing menerima RM1,875.
Pada 1 Oktober lalu, Ahmad Shabery mengumumkan Kabinet meluluskan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menamakan kemudahan sukan sempena nama atlit yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Selain memberi perhatian kepada gelanggang itu, KBS juga akan menyediakan galeri berkaitan Nicol di ruang utama Pusat Skuasy, dalam usaha menjadikannya tarikan kepada pelajar sekolah dan juga orang ramai yang melawat ke MSN.
Nicol kini setanding jagoan dunia antara mereka legenda tenis Australia, Rodney George ‘Rod’ Laver; bintang bola sepak Itali, Giuseppe Meazza; jaguh tenis Amerika Syarikat, Arthur Ashe dan manusia terpantas ketika ini, Usain Bolt pernah menerima penghargaan sebegini.
Gelanggang tenis di Melbourne Park dinamakan Rod Laver Arena; Stadium Giuseppe Meazza terletak di San Siro, Milan; Stadium Arthur Ashe pula di New York manakala di Jamaica kini ada Lebuh Raya Usain Bolt.
3 comments:
hebat! sungguh hebat!
memang layak nicol dapat semua pengiktirafan ni sebab dia dah banyak mengharumkan nama negara!
bukan mudah perempuan nak berada dipodium dunia n nicol dah buktikan yang kaum hawa juga bole! caiyokk nicol!
aku memang salut ini wanita dari dulu lagi..pantang menyerah betul. memang anak watan Msia berjiwa kental!
tahniah nicol...betul tu may,bukan mudah utk prmpuan namun anda telah buktikan nicol..jika anda jatuh skalipun suatu masa nanti,ingat lah bahawa anda sudah membuat satu sejarah yg tidak mungkin akan mmbuatkan anda tenggelam..andai jatuh,bangkit kmbali...
Post a Comment