Friday, August 26, 2011

DI SAAT SUKAN OLIMPIK LONDON 2011 SEMAKIN HAMPIR...

Koo/Tan-Rexy pisah!
Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my
2011/08/27

PASANGAN Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Gambar kecil Rexy Mainaky.
PASANGAN Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Gambar kecil Rexy Mainaky.
Pasangan emas boikot latihan dengan alasan demam

SAH! Pasangan emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak lagi memerlukan khidmat ketua jurulatih, Rexy Mainaky untuk membimbing mereka.
Sumber dalaman Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, kedua-dua pemain itu menyatakan pendirian berkenaan dalam pertemuan ‘hati ke hati’ dengan BAM susulan prestasi mengecewakan di Kejohanan Dunia di Wembley London, baru-baru ini.
Jika mereka enggan berlatih dengan saya, saya tidak boleh buat apa-apa, saya serahkan kepada BAM. - Rexy Mainaky, Ketua jurulatih beregu
Pasangan itu juga menuntut BAM mencari pengganti jurulatih Indonesia yang membimbing mereka sejak 2005 itu.

Dan semalam, kedua-dua pemain tampak kekal dengan pendirian apabila dikatakan ‘memboikot’ latihan pada hari pertama Rexy memulakan tugasnya - dengan alasan demam.

Keretakan hubungan jurulatih dan anak didiknya itu mula dihidu selepas pasangan itu dikatakan membidas strategi Rexy sebaik tunduk buat kali kelima berturut-turut kepada gandingan kedua Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong di suku akhir Kejohanan Dunia.

Rexy yang menaikkan nama pasangan itu pada zaman kegemilangan mereka pada 2006 dan 2007 dengan membantu memenangi pingat emas Sukan Asia 2006 dan 11 kejuaraan antarabangsa sebelum prestasi mereka merosot.
Namun jurulatih itu enggan mengulas panjang mengenai keputusan mengejutkan anak didiknya itu.

“Jika mereka enggan berlatih dengan saya, saya tidak boleh buat apa-apa, saya serahkan kepada BAM,” katanya ketika dihubungi semalam. “Sebagai jurulatih profesional, saya akur hanya kejayaan cemerlang pasukan dan pemain menjadi pertaruhan.”

Sementara itu, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh enggan mengulas keputusan pasangan itu dan berkata, buat masa ini pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan Rexy.

“Dia (Rexy) masih ketua jurulatih beregu.”

Kini terpulang kepada BAM sama ada mahu menuruti kehendak pasangan emas itu, dan andai meluluskan tuntutan mereka, BAM perlu meletak syarat supaya mereka mampu bangkit segera daripada prestasi tidak menentu tatkala lambaian Olimpik London 2012 semakin hampir.

No comments: