Article ni menarik perhatian aku..aku rasa wajar utk aku kongsikan bersama
Oleh JULIA ISMAIL dan MARTIN KAHAR
rencana@kosmo.com.my
Siapa pun tidak menyangka dia mampu berdikari seperti manusia normal lain. Apa keistimewaan remaja berusia 14 tahun yang berasal dari Melaka ini sehingga ceritanya menarik untuk bacaan ramai.
PAGI itu di pentas utama Dataran Merdeka, semua mata tertumpu melihat seorang kanak-kanak yang sangat istimewa. Berbaju Melayu hitam, langkahnya perlahan menaiki anak tangga pentas.
Sebaik tiba di anak tangga terakhir, dia lantas mencapai sekeping papan luncur (skateboard) yang dipegang oleh seorang pengiring. Kemudian, langkahnya pantas menuju ke arah orang kenamaan yang sudah sedia menantinya.
Sebaik sahaja berada di hadapan orang kenamaan itu, kedua-dua tangannya yang masih basah kerana terkena air hujan di lantai diangkat ke dahi tanda mengangkat sembah.
Orang kenamaan yang berada di hadapannya ketika itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dilahirkan dengan kecacatan fizikal dari pinggang ke bawah menyebabkan Muhammad Haziq Samrat, 14, tidak mampu berjalan sempurna termasuk membesar seperti kanak-kanak lain.
Ketika 'berdiri' di hadapan Tuanku Mizan, ketinggian Haziq cuma separas lutut Tuanku. Saat itu juga kemuliaan hati seorang Raja yang mengagumi ketabahan seorang kanak-kanak yang semangatnya luar biasa jelas terserlah.
Sambil memegang sebuah piala yang menobatkan Haziq sebagai penerima Anugerah Tokoh OKU sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah di Dataran Merdeka baru-baru ini, Tuanku Mizan sudi mencemar duli dengan merendahkan tubuh dan bertinggung untuk menyerahkan piala itu.
Memori itu pastinya akan dikenang sehingga akhir hayat Haziq. Ia bukan sekadar menerima anugerah tetapi bagaimana istimewanya layanan Tuanku terhadap beliau.
"Saya amat berbesar hati kerana menerima anugerah tersebut daripada Tuanku Mizan sendiri, tambahan pula bukan semua orang dapat memiliki peluang seperti itu.
"Saya pun tak sangka akan dapat anugerah tersebut, namun saya sangat bersyukur. Walaupun saya lahir serba kekurangan, masih ada yang prihatin," katanya sambil memberitahu, dia ingin menyimpan wang kemenangan berjumlah RM22,000 itu untuk kegunaan masa hadapan.
Menggunakan papan luncur untuk bergerak, Haziq memberitahu papan luncur dan dirinya tidak boleh dipisahkan sejak berumur dua tahun. Katanya, bayi lain bertatih menggunakan kaki tetapi dia bertatih menggunakan tangan dan belajar meluncur menggunakan papan luncur.
"Semasa kecil, saya pernah terjatuh beberapa kali kerana gagal mengawal papan luncur, tetapi sekarang saya sudah mahir," katanya sambil ketawa.
Haziq memberitahu, dia memilih menggunakan papan luncur berbanding kerusi roda kerana fizikal kerusi roda yang agak besar menyukarkannya untuk bergerak bebas.
"Papan luncur lebih laju. Jadi, lebih mudah untuk saya bergerak terutama ketika melalui kawasan yang berbukit atau bertangga.
"Cuba bayangkan kalau saya guna kerusi roda, saya terpaksa meminta bantuan orang lain untuk mendaki anak tangga," katanya yang tidak mahu terlalu bergantung pada pertolongan orang ramai dalam melakukan tugasan harian.
Tambahnya, keluarganya juga tidak memanjakan atau membeza-bezakan kasih sayang antara dia dan adik beradik lain. Mereka melatihnya supaya Haziq mampu melakukan banyak perkara dengan sendiri agar dia lebih berdikari dan tidak bergantung kepada sesiapa.
Anak muda yang penuh dengan keazaman dan kecekalan itu tidak pernah merasakan kecacatan dirinya sebagai batasan untuk dia bergaul dan melakukan aktiviti-aktiviti seperti remaja normal yang lain.
Justeru, tidak hairanlah dia juga sangat aktif dalam sukan dan aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolahnya sekali gus membuatkannya tiada beza dengan pelajar lain di sekolah.
"Saya akan sertai apa saja aktiviti yang saya boleh sertai, antaranya ping pong, bola sepak, bola tampar, renang dan banyak lagi.
"Memang mula-mula sukar tetapi lama-lama, saya jadi biasa. Kawan-kawan pun dah biasa dengan keadaan saya. Oleh itu, tak ada perasaan takut bagi mereka kalau bersukan dengan saya.
"Kadang-kadang mereka yang ajak saya main bola di padang," katanya yang tinggal bersama ibu bapanya di Taman Lagenda Mas, Cheras, Kuala Lumpur.
Umpama dalam drama atau filem, insan yang cacat, hodoh atau sebagainya, pasti mereka akan tersisih daripada masyarakat. Namun, perkara itu tidak berlaku kepada Haziq.
Sebaliknya, dia mengakui sering menjadi tumpuan mata-mata yang memandang, tetapi itu tidak menjadi masalah pada dirinya. Malah keadaan itu menjadikannya lebih ramai kenalan kerana mereka ingin tahu tentangnya.
"Saya gembira kerana setiap kali keluar pada hujung minggu, diri saya menjadi tumpuan orang ramai kerana saya menggunakan papan luncur untuk bergerak sekali gus menjadikan saya ramai kenalan.
"Tidak bermakna saya mempunyai kekurangan, saya perlu mengurung diri dan menyesali kejadian Tuhan. Sampai bila-bila pun, saya tidak akan menjadi sesiapa jika saya mengurung diri," katanya.
Haziq sering bersiar-siar dengan rakan-rakannya seperti mana remaja lain. Kadang-kadang dia dan rakan-rakannya akan ke pusat beli-belah seperti Mid Valley atau KLCC.
Kalau ada aktiviti kokurikulum pada waktu pagi, biasanya ada ahli keluarga yang akan menghantarnya atau saya tumpang rakan-rakan yang ada di antaranya mempunyai motosikal.
"Jarak rumah saya dengan sekolah hanya 10 minit perjalanan," ujarnya.
Orang yang paling rapat dengan Haziq adalah ibunya, Narimawati Abdul Jalil, 54. Narimawati sentiasa memberi sokongan kepada anaknya supaya bersabar meniti cabaran hidup sehingga beroleh kejayaan.
"Saya selalu ingatkan Haziq supaya kuatkan semangat dan sentiasa beri galakan kepadanya untuk terus berjaya. Saya selalu cakap pada dia, kalau kita susah, mungkin ada orang lain yang lebih susah daripada kita," kata Narimawati.
Dalam pada itu, menurut guru kelasnya, Roslina Razali, 47, Haziq sentiasa aktif di dalam kelas dan dia amat berpotensi dalam pelajaran terutamanya dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
"Dia tidak pernah malu bertanya apabila tidak memahami pelajaran yang diajar. Mungkin pelajar sepertinya ada satu dalam sejuta memandangkan dia tidak pernah menjadikan kecacatannya sebagai penghalang untuknya belajar atau berasa rendah diri," ujarnya.
Roslina turut mengakui Haziq tidak mempunyai masalah untuk bergaul dan dia mudah menyesuaikan diri dengan rakan-rakannya di sekolah.
Haziq, bukan sahaja menjadi ikon yang perlu dicontohi oleh golongan OKU tetapi kisah hidup dan kecekalan dia harus dicontohi oleh semua masyarakat.
No comments:
Post a Comment