Wednesday, April 13, 2011

NOBODY IS PERFECT..SO WHO IS NOBODY???

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Hari ni saya nak berkongsi 2 pucuk surat yang disiarkan di 2 akhbar tempatan yang berbeza. Isi kandungannya bertentangan antara satu sama lain. Sekadar untuk renungan kita bersama

SURAT 1:

Sistem kerja doktor tidak teratur
2011/04/13

PERUBATAN adalah antara bidang kritikal dan penting di negara ini. Perbincangan mengenai perubatan dan kerjaya seorang doktor juga menjadi antara perhatian dalam kalangan masyarakat.

Ini sudah tentu berkait rapat dengan dekatnya hubungan doktor dengan pesakit yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat.
Namun, apabila doktor yang seharusnya merawat pesakit itu sendiri menjadi pesakit, apatah lagi sakit dalam konteks psikologi atau jiwa, maka ia akan memberi masalah besar kepada masyarakat.
Inilah yang dihadapi apabila seseorang menceburi bidang kedoktoran. Tekanan kerja, budaya kerja tidak membina atau produktif, masa kerja keterlaluan dan lain-lain adalah penyumbang besar kepada tekanan mental dan stres yang dialami khususnya doktor muda.

Dengan segala macam masalah ini, tidak hairanlah berlaku kekurangan doktor di hospital kerajaan dan pada masa sama hospital swasta dan klinik persendirian muncul bagai cendawan tubuh selepas hujan.

Masa kerja keterlaluan dengan tugasan banyak antara faktor bebanan ini. Cuba bayangkan seorang doktor yang oncall’ perlu ke hospital seawal jam 7 pagi, bertugas sehari suntuk, berjaga pada waktu malam sehingga pagi keesokannya dan kembali bekerja (post-call) sehingga petang.

Mereka bekerja selama 34 jam tanpa mempunyai rehat yang cukup. Bahkan bekerja di hampir setiap hari tanpa cuti minggu adalah norma biasa, ditambah lagi jika bekerja di hospital besar dan mempunyai ramai pesakit.
Ini tidak termasuk ujian amali yang perlu ditempuhi bagi menilai tahap penguasaan sesuatu bidang. Mereka terpaksa bekerja dan pada masa sama kembali belajar dan mengulang kaji. Bayangkan jika mereka sudah berkeluarga, berapa banyak masa boleh diluangkan untuk anak?

Kerja sebegini seolah-olah kerja buruh moden bahkan lebih teruk daripada itu. Kenapa kerajaan tidak melaksanakan sistem syif seperti yang diamalkan untuk jururawat? Jika kekurangan tenaga dijadikan alasan maka masa kerja tidak seharusnya selama ini.

Masyarakat mudah mengiktiraf kejayaan seseorang hanya melalui pandangan zahir saja. Apabila mereka melihat kerjaya doktor dengan steteskop di leher, berkot putih sepanjang masa dan bergaji tinggi, segala-galanya kelihatan baik sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.

Kadang-kala ada juga yang mempersoalkan kompetensi seseorang doktor hanya dengan menilai tahap kualiti pendidikan yang diperolehnya tanpa melihat faktor dalaman yang lebih besar.

Di sebalik senyuman seorang doktor kepada pesakit, tersembunyi perasaan kecewa, sedih dan penat di lubuk hati mereka. Kini bukan pesakit saja perlu diubati tetapi doktor sendiri perlu dirawat.

SUAMI DOKTOR,
Seksyen 19, Petaling Jaya.
 
 
SURAT 2:

Pengalaman pahit sambut anak pertama di Hospital Serdang 

IZHAR Serdang, Selangor.

Dua minggu lepas isteri saya selamat melahirkan anak pertama kami di Dewan Bersalin Hospital Serdang, Selangor.Detik kelahiran anak kami yang ditunggu selama 40 minggu mengandung sepatutnya disambut dengan gembira oleh kami sekeluarga. Tapi sehingga kini isteri saya mengalami trauma untuk memegang, menggendong serta menyusukan anak. Lebih teruk, isteri saya seperti serik untuk melahirkan anak lagi.

Inilah pengalaman kami semasa berada di Dewan Bersalin Hospital Serdang:

* Sikap biadap jururawat bertugas di bahagian kaunter dalam dewan bersalin. Beliau hanya menunjuk dengan memuncungkan bibir bilik yang menempatkan isteri saya.

* Semasa isteri saya mengalami contraction jururawat merentap tangan isteri saya secara kasar untuk memasang wayar intravena tanpa memaklumkan prosedur.

* Jururawat bertugas mengingatkan kami, sekiranya mereka meninggikan suara jangan anggap mereka kasar. Itu adalah prosedur biasa bagi membantu ibu bersalin.

* Bila cecair intravena habis, saya ke kaunter untuk memaklumkan kepada jururawat bertugas. Seperti tidak dilayan, sekumpulan Houseman dan jururawat cuma menjeling kepada saya. Hanya selepas 30 minit barulah seorang Jururawat Masyarakat masuk secara kebetulan (bagi tujuan pemeriksaan CTG). Mukanya masam seperti terpaksa bila saya mengatakan cecair intravena perlu diganti.

* Selama empat jam kami di bilik bersalin, cuma tiga kali jururawat masuk melihat keadaan sedangkan ini adalah pengalaman pertama kami. Tiada panduan atau dorongan bagi kami berdua oleh kakitangan atau doktor bertugas.

* Ketika hampir bersalin, jururawat masyarakat yang menyambut bayi kami bersikap kasar. Sudahlah tidak memaklumkan prosedur, terus menepuk paha isteri saya serta menengking isteri saya bagi mengeluarkan bayi.

* Selepas bersalin, isteri saya diarahkan memegang bayi dan memberi penyusuan pertama untuk bayi kami. Ini adalah pengalaman pertama isteri saya memegang serta menyusukan bayi. Janggal serta kekok bagi isteri saya. Jururawat bertugas memerli isteri saya dengan berkata, "Nak pegang baby pun tak betul, macam mana nak jadi mak?". Kebetulan puting isteri saya tidak timbul, ini lagi menambahkan tekanan untuk menyusukan anak kami.

Persoalan saya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Jururawat Malaysia serta pihak Hospital Serdang:

* Adakah menjadi polisi KKM bagi menempatkan serta mendidik kakitangan di dewan bersalin supaya biadap dan kurang mesra terhadap pelanggan?
8 Adakah sikap kasar, biadap serta meninggikan suara akan dilakukan terhadap pelanggan VVIP yang bersalin di hospital kerajaan? Dan adakah adil kami rakyat biasa diperlakukan seperti ini?

* Wajarkah KKM menilai atau menarik kembali anugerah Hospital Rakan Bayi di Hospital Serdang kerana tiada bimbingan diberikan kepada isteri saya cara penyusuan bayi selain dari 'hinaan' oleh kakitangannya?

* Adakah menjadi polisi dan budaya kepada Lembaga Kejururawatan Malaysia melahirkan jururawat yang tidak profesional, tidak tersenyum dan kasar dalam mengendalikan pesakit?

* Wajarkah pihak Hospital Serdang menilai semula penempatan jururawat yang biadap dan kasar di dewan bersalin?

Saya berharap KKM tidak mengeluarkan kenyataan penafian. Lakukanlah kajian serta dapatkan respons daripada setiap pesakit dari semasa ke semasa bagi meningkatkan perkhidmatan hospital kerajaan.

Benarlah kata rakan-rakan saya yang pernah bersalin di hospital kerajaan, sikap biadap serta kasar yang ditunjukkan oleh setiap jururawat tidak mencerminkan sikap profesional dan penyayang dalam menjalankan tugas.

Apa gunanya slogan KKM 'Kami Sedia Membantu' jika sikap kakitangannya lebih gemar menggunakan slogan 'Kamu Perlu Bantuankah' untuk masyarakat? Bersama-samalah berubah supaya slogan yang diucapkan mencerminkan perkhidmatan yang ditampilkan.


P/S:  Bukan mudah untuk puaskan hati semua orang. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga ini semua menjadi pedoman kepada doktor-doktor dan jururawat-jururawat di Malaysia. Juga kepada bakal-bakal doktor seperti aku.

1 comment:

kotak said...

owh shu!!!! tetiba aku nk menangis baca entry nih shu...