Saturday, November 29, 2008

Mumbai oh Mumbai.......

Bukan hanya masalah India

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, India muncul sebagai harapan baru untuk dunia yang sudah berubah. Baru-baru ini dengan rancangan untuk melancarkan program penerokaan angkasa, disertakan minda negara yang menumpukan perhatian pada kemajuan masa depan, keadaan ini meletakkan India setanding dengan China sebagai dua kuasa ekonomi baru bakal mencorakkan semula dunia,

Malah India dilihat lebih berpotensi tinggi berbanding China walaupun negara komunis itu telah jauh berada di depan dari segi pembangunan dan keperkasaan ekonomi. Hakikat bahawa India adalah sebuah negara demokrasi terbesar dan penguasaan bahasa Inggerisnya yang mendalam meletakkan negara bersejarah itu sebagai sinar cerah bagi dunia dan kemanusiaan.

Memang ada pihak di barat khususnya di Amerika Syarikat (AS) yang melihat India sebagai negara berkemampuan menjadi pengimbang kepada kebangkitan China. Tetapi bagi negara-negara lain yang tiada berkepentingan geopolitik, umum mengharapkan India akan maju seperti China bagi memperkayakan lagi, atau menyumbang semula kepada tamadun manusia. Bagi negara-negara di Asia Tenggara yang sentiasa bersangkut-paut dengan India serta China, mereka pasti mengharapkan kedua-kedua gergasi ini akan makmur dan selanjutnya mendamaikan benua Asia. Sudah lama Asia menanggung kesengsaraan, biarlah benua ini turut senang dan juga mengecapi kemakmuran seperti mana Eropah dan Amerika Utara.

Itu adalah harapan dunia. Berita-berita yang berbaur perdamaian seperti kerajaan baru Islamabad mahu menghentikan program nuklearnya dan mencari langkah-langkah bersahabat dengan New Delhi, serta harapan baru di Kashmir melalui pilihan raya umum adalah merupakan bunga-bunga harapan untuk benua kecil itu.

Namun serangan pengganas ke atas 10 lokasi di Mumbai pada Khamis, 27 November meruntuhkan semua harapan indah itu. Pada realitinya India masih menghadapi cabaran ngeri dan keselamatan masih jauh dari terjamin. Tidak usahlah bercakap mengenai penerokaan angkasa, atau kemunculan sebagai kuasa ekonomi, hakikatnya India masih berada pada takuk darurat keganasan.

Kematian yang mencecah lebih 100 orang itu, walaupun sudah menjadi suatu perkara yang ngeri, tetapi apa yang lebih menggerunkan lagi, ialah potensi keganasan yang lebih dahsyat lagi. Walaupun mangsanya tidak mengira anutan agamanya, dan keganasan ini dikecam oleh umat Islam tetapi dalam peringkat awal ini, tuduhan dilemparkan kepada apa yang dipanggil oleh media Barat sebagai militan Islam. Kenyataan rasmi kerajaan India meletakkan kesalahan kepada "kuasa-kuasa luar'', yang boleh merujuk kepada rangkaian pengganas asing khususnya Al-Qaeda atau agensi perisikan Pakistan.

Sementara pengulas-pengulas di Amerika pula meletakkan kesalahan kepada rangkaian Al-Qaeda dan sekutunya. Sementara yang membuat pengakuan ialah Deccan Mujahedeen, suatu kumpulan yang tidak pernah kedengaran sebelum ini. Ia pula dikaitkan dengan kumpulan Islamic Security Forces-Indian Mujahedeen. Pengakuan ini semua tidak boleh disahkan. Tetapi istilah yang digunakan ialah Mujahidin dan Islam, maka talaan perhatian dunia pastinya kepada militan Islam.

Lepas daripada ini, tentunya kumpulan-kumpulan ekstrem dan ganas daripada pihak yang membenci Islam tidak akan duduk diam. Tidak menghairankan jika mereka akan bangkit untuk membalas dendam dan jika berlaku rusuhan anti-Islam di India, yang susah dan menderita adalah rakyat susah, bukan saja dari kalangan orang Islam tetapi penduduk Mumbai pada keseluruhannya. Dalam sejarah India, sejak negara itu mencapai kemerdekaan dan pemisahan antara India dan Pakistan berlaku, sudah terlalu banyak kesengsaraan rakyatnya dalam pergaduhan agama.

Maka cabaran ngeri ini menggoncang usaha India untuk bangkit setaraf China dalam ekonomi global yang kini menghadapi iklim tidak menentu ekoran krisis kewangan global. Apa yang menarik perhatian para penganalisis keganasan ialah modus operandi dan rangkaian penyelarasan pelaku-pelaku serangan ini. Ia bersifat canggih dan boleh dianggap satu serangan terbesar oleh rangkaian pengganas pernah berlaku di India. Walaupun pelakunya besar kemungkinan adalah dari kalangan rakyat India sendiri, tetapi sasaran serangannya adalah bersifat global dan bercirikan Al-Qaeda.

Maka apabila Hotel Oberoi dan Hotel Taj Mahal diserbu, mereka mencari rakyat Amerika dan Britain sebagai tebusan. Tetapi ketika membuat serbuan itu, mereka kebetulan terjumpa markas sebuah pertubuhan Yahudi ultra-ortodoks dengan stafnya terdiri daripada rakyat Israel berhampiran dengan hotel itu. Walaupun tidak jelas sama ada terdapat rakyat Israel yang menjadi tebusan tetapi sasaran asal pengganas itu adalah warganegara Amerika dan Britain.

Apabila warganegara Amerika dan Britain menjadi sasaran, maka dapat dilihat bahawa serangan keganasan ini, walaupun berlaku di India dan pelaku-pelakunya terdiri daripada rakyat India, ia berupa suatu peperangan global tentunya memerlukan tindakan tegas daripada Washington. Maka di Chicago pada Khamis lalu, bakal Presiden Amerika, Barrack Obama mengecam serangan di Mumbai dan menegaskan bahawa negaranya akan bekerjasama dengan India untuk "menghapuskan dan memusnahkan rangkaian keganasan.''

Bagaimana Obama hendak lakukan, ia merupakan cabaran besar baginya. Apa yang Presiden George W. Bush gagal lakukan, adakah Obama dapat mengatasinya? Apa yang akan beliau lakukan akan menjadi perhatian seluruh dunia untuk melihat sama ada cara seorang presiden parti Demokratik berbeza daripada Republikan.

Sejak tahun-tahun kebelakangan, serangan keganasan daripada Al-Qaeda sudah berkurangan. Keganasan yang paling banyak berlaku terdapat di Iraq. Tetapi apa yangt berlaku di Mumbai ini dapat dilihat sebagai kemunculan semula kegiatan daripada rangkaian Al-Qaeda. Kalau seseorang mengaitkannya dengan apa yang berlaku di Afghanistan, sememangnya di negara itu pihak Taliban sedang bangkit kembali. Tetapi itu tidak bermakna Al-Qaeda juga sedang bangkit walaupun Osama ben Laden masih dipercayai bersembunyi di situ.

Walaupun tidak ada serangan baru, tetapi simpati sebahagian daripada umat Islam kepada kumpulan- kumpulan ini masih besar. Kalau tidak, masakan mereka mampu mendapat rekrut-rekrut baru yang sanggup melancarkan serangan bunuh diri. Melihat orang ramai yang hadir semasa pengkebumian pengebom Bali di Indonesia baru-baru ini, adalah ketara bahawa terdapat sebahagian daripada umat Islam yang menyokong perjuangan mereka dan kumpulan Jemaah Islamiah.

Bagi kalangan arus perdana umat Islam seluruh dunia, perbezaan harus dibuat antara perjuangan menuntut hak dan kemerdekaan dengan cara keganasan yang mengorbankan mereka yang tidak berkaitan. Maka pandangan umum umat Islam ialah apa bentuk keganasan mesti ditolak dan dihalang tetapi perjuangan bagi mendapatkan hak dan kemerdekaan wajar diteruskan.

Pengganas

Maknanya, perjuangan Palestin bagi mendapatkan negara yang benar-benar merdeka mesti diteruskan. Hamas bukan pertubuhan pengganas seperti yang dilabelkan oleh Amerika dan Israel. Tetapi kaedah Hamas yang boleh disifatkan sebagai pengganas pasti ditolak oleh semua pihak termasuk umat Islam. Begitu juga dengan Kashmir. Hak mereka sebagai rakyat yang mahukan kemerdekaan wajar dihormati. Tetapi cara-cara kumpulan tertentu dalam gerakan kemerdekaan Kashmir yang menggunakan keganasan dan seterusnya mengaitkan diri dengan Al-Qaeda pastinya wajar ditolak.

Tetapi di pihak Barat umumnya, mereka bukan saja menolak cara keganasan kumpulan-kumpulan itu, tetapi juga sasaran perjuangan itu sendiri. Pihak Barat, umumnya, tentulah ada pengecualian menolak kemerdekaan Palestin kerana mereka turut yakin dengan hujah pihak Israel bahawa negara Palestin yang merdeka akan memusnahkan Israel. Sedangkan hakikatnya sekarang Israel sudah pun memusnahkan Palestin. Mengapa Israel boleh hidup tetapi tidak Palestin?

Maka kalau di India, fokusnya pastilah Kashmir. Justeru perhatian adalah pada hubungan India dan Pakistan. Tetapi oleh kerana sudah terlalu lama hidup dalam permusuhan, maka keadaan ini menjadi kompleks. Akhirnya ia melibatkan kuasa-kuasa besar, dari Amerika, Kesatuan Soviet hinggalah ke China. Ia juga mengheret Afghanistan dan akhirnya muncul Taliban dan Al-Qaeda yang masih tidak dapat dikekang oleh dunia.

Sedangkan dunia hari ini, di bawah pimpinan Amerika dengan meletakkan Obama sebagai pemimpin yang diletakkan seribu harapan mahu menumpukan perhatian kepada soal ekonomi serta masalah alam sekitar yang mencabar. Krisis kewangan hendak ditangani segera supaya keadaan ekonomi global pulih dan tumpuan seterusnya menangani cabaran jangka panjang perubahan iklim. Sesungguhnya masa depan generasi akan datang, adalah dalam risiko. Dunia tidak mampu diganggu oleh masalah-masalah politik dan keselamatan yang terus tidak dapat diselesaikan. Serangan pengganas ke atas Mumbai bukan saja melumpuhkan industri pelancongan India dan menjejaskan ekonomi negara itu tetapi menyumbang kepada pemulihan ekonomi global.

Dalam keadaan ekonomi Amerika dan Eropah tertekan, adalah amat diharapkan di lain-lain rantau di dunia akan menjadi penampan bagi membolehkan usaha pemulihan terhadap ekonomi dunia dapat dilakukan. China dan India diharapkan akan menjadi pengimbang kepada keadaan yang sukar di Eropah Barat dan Amerika Utara.

Dari segi jangka pendeknya, tindakan tegas, dan bijak perlu dilakukan oleh pihak berkuasa India bagi membanteras kumpulan-kumpulan ini. Tetapi kebijaksnaan amat perlu. Ketegasan tanpa kebijaksanaan akan menjerumuskan negara itu ke dalam kancah yang lebih mendalam. Dalam hal ini, tentunya Amerika akan datang membantu kerana ia berkait juga dengan mereka. Obama juga seperti yang dikatakannya akan meningkatkan kerjasama dengan India.

Apabila Amerika meningkatkan hubungannya dengan India, maka ia akan memberi kesan kepada Pakistan. Geopolitik menuntut tindakan pengimbang. Pakistan pula akan meningkatkan hubungannya dengan Rusia. Jadi akhirnya soal keselamatan tidak lari daripada masalah politik yang berkait rapat pula dengan perjalanan sejarah. Adakah India dan Pakistan yang seperti ini dicita-citakan oleh para pejuang kemerdeekaannya dahulu? Chandra Bose, Mahatma Gandhi, Ahmad Iqbal, Ali Jinnah dan Jawaharlal Nehru tentunya mengimpikan negara India dan Pakistan yang bukan saja aman dan selamat tetapi memberi kesejahteraan kepada rakyat yang kebanyakannya susah.

Sememangnya apabila disebut sebagai kebangkitan baru ekonomi India, gambaran yang diperoleh adalah kemunculan elit baru kelas menengah negara itu. Merekalah yang menjana dan menggerakkan ekonomi India untuk setara dengan China, juga ditandai dengan kemunculan kelas orang kaya. Tetapi apabila dilihat ke bawah, baik di China mahupun di India, rakyat massa yang hidup susah dan melata masih jauh daripada mampu mengecapi kemakmuran hidup. Namun begitu, kerajaan Beijing yang masih mempunyai ciri-ciri ekonomi terancang berusaha mengurangkan jurang perbezaan ekonomi ini melalui dasar-dasar tegas. Arahan mengehadkan bilangan anak merupakan langkah berkesan untuk menurunkan kemakmuran kepada semua warganegara.

Sementara di India, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil merupakan komponen dinamik bagi membela golongan susah dan terpinggir dalam negara itu. Tetapi ia ,masih tidak memadai. Kemiskinan dan kesusahan mendorong kepada politik perkauman dan agama. Ia hanya memerlukan bancuhan masalah geopolitik global untuk menghasilkan gerakan pengganas yang akhirnya meletupkan Mumbai.

***dipetik dari Utusan Malaysia 30 November 2008