Thursday, October 13, 2011

BERLAKON DI PENTAS DUNIA


Aku berlakon di pentas dunia,
Membawa watak dan seribu rupa,
Senyuman menawan lirikan menggoda,
Menyambar jiwa hingga ternoda.

Tangan dihayun sambil mendada,
Berdiri megah umpama raja,
Semua jalan sudah dipeta,
Tersedia bekalan untuk bertapa.

Terus mendada sambil berkata,
"Tiada insan setanding saya",
Luputnya ingatan pada Yang Esa,
Agungnya hidup tanpa Pencipta.

Namun,
Hakikat sebenar tak pernah lupa,
Wujudnya Tuhan sentiasa ada,
Nafas dihela di dunia nyata,
Karma tersenyum lalu menerpa.

Rapuhya pentas sudah masanya,
Hadirin sinis petanda duka,
Bertakunglah air di kelopak mata,
Batin menjerit beralunkan lara.

Ingatlah,
Tuhan kita tidaklah kejam,
Dugaan dikirim tanda menyapa,
Sebagai peringatan di hari tua,
Agar terselamat daripada merana.

Ku sembamkan wajah di bumi rata,
Mohon maghrifah pada Pencipta,
Minta dihilangkan cacat dan cela,
Kuburkan sekali dusta dan nista.

Aku dambakan cinta sempurna,
Kedamaian abadi di dalam jiwa,
Pimpinlah aku bawa bersama,
Beri kesempatan mencium Syurga.


Saturday, October 8, 2011

BAJET 2012

"Perjuangan ini bukan perjuangan sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun. Ia adalah perjuangan berdekad lamanya. Inilah bajet di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional diilhamkan demi rakyat. Kepada Allah jua kita berserah"

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2012 bagi meneruskan agenda transformasi nasional yang mengambil kira kebajikan segenap lapisan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengetepikan strategi untuk membangunkan negara.


Bertemakan Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara, Bajet 2012 yang merupakan bajet kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Najib, bakal menjadi pemacu untuk mencapai Wawasan 2020 dan matlamat negara berpendapatan tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dengan itu menggariskan lima fokus utama yang akan diberi penekanan di bawah Bajet 2012 iaitu meligat pelaburan; mengungguli modal insan; transformasi luar bandar; memperkejap perkhidmatan awam; serta meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat.


Perumahan Rakyat
- Pembiayaan Skim Rumah Pertamaku dinaikkan kepada RM400,000
- 15,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat
- Subsidi RM20,000 bagi 10,000 rumah Program Perumahan Mesra Rakyat


Kakitangan Awam
- Struktur gaji lebih baik dengan kenaikan gaji 7-13 peratus
- Kenaikan gaji tahunan antara RM80-RM320 mengikut gred
- Umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun
- Bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500
 
Pesara Kerajaan
- Bayaran khas RM3,000 kepada bekas anggota, duda dan balu polis khas dan polis tambahan
- Kenaikan pencen 2 peratus setahun
- Bayaran bantuan RM500
 
Sektor Swasta
- Caruman majikan KWSP untuk gaji bulanan di bawah RM5,000 dinaikkan kepada 13 peratus
- Pelepasan cukai sehingga RM3,000 bagi caruman skim persaraan swasta dan anuiti insurans
- Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana skim persaraan swasta
 
Warga Emas - Caj pendaftaran pesakit luar percuma di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia
- Diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel
 
Tangani Inflasi
- Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000
- Penerusan subsidi bil elektrik RM20
- Penerusan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah RM33.3 bilion
 
Pelajar
- Yuran sekolah percuma
- Bantuan RM100 untuk semua pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5
- Baucar buku RM200 kepada pelajar IPTA

Peneroka FELDA
- FELDA Global Ventures Holdings disenaraikan di Bursa Malaysia untuk jadi syarikat konglomerat global
- Peneroka akan dapat durian runtuh